Bercakap soal jenayah seksual terhadap kanak-kanak, aspek yang jarang disentuh ialah bagaimana merawat pesalahnya.

Perkara itu akan dikongsi oleh pengasas program pemulihan pesalah seks dari United Kingdom (UK) Donald Findlater dalam seminar anti-jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ibu negara minggu depan.

"Beliau juga memulakan kempen jenayah seksual kanak-kanak termasuk talian bantuan bagi orang yang memerlukan nasihat untuk menangani pemikiran atau tingkah laku seksual mereka,” menurut Facebook seminar itu.

Selain mengasaskan program itu sejak 2002, Findlater (gambar) juga menubuhkan klinik Wolvercote – pusat rawatan untuk lelaki yang disabitkan dengan jenayah seksual kanak-kanak.

Malaysia sebelum ini digemparkan dengan Richard Huckle yang dijatuhi 23 hukuman penjara seumur hidup (berjalan serentak) oleh mahkamah UK, selepas mengaku bersalah terhadap 71 kes penderaan seksual kanak-kanak.

Warganegara British itu dipercayai terlibat mendera 200 kanak-kanak, terutamanya masyarakat miskin di Kuala Lumpur.

Seminar dua hari bertajuk “Hentikan Jenayah Seksual Kanak-Kanak” bermula 13 Mac itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu , Facebook itu juga menyebut seminar itu juga akan menampilkan Madeleine Yong, yang menubuhkan beberapa badan perlindungan hak kanak-kanak seperti PS The Children, Childline Malaysia dan Child Rights Coalition Malaysia.

Seorang lagi penceramah ialah Maryam Zainol, wartawan yang terlibat dalam penerbitan “Predator In My Phone”, siri dokumentari mengenai gejala jenayah seksual kanak-kanak atas talian.

Maryam juga dikatakan turut terlibat melobi anggota-anggota parlimen Malaysia untuk menyokong undang-undang bagi melindungi kanak-kanak di negara ini.