Kegagalan memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama
(KPI) adalah antara faktor yang menyebabkan pensyarah lantikan kontrak ditamatkan perkhidmatan, kata Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Beliau berkata faktor kekangan kewangan sesebuah universiti menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menyemak kembali pencapaian seseorang pensyarah kontrak sebelum keputusan diambil sama ada menyambung atau menamatkan perkhidmatannya.

"Ada sesetengah pensyarah yang tidak dapat mengekalkan KPI mereka dan sebagai contoh mereka itu kurang menghasilkan kajian dan tidak menerbitkan jurnal yang diperlukan.

"Universiti kena move forward (maju ke depan), kena bawa agenda universiti terutamanya universiti berteraskan penyelidikan, dia kena ada penerbitan tertentu yang perlu diterbitkan," katanya kepada pemberita selepas majlis Graduasi Program Pensijilan USIM-BIMB di Nilai hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin sebagai berkata hampir 6,000 pensyarah termasuk profesor diberhentikan dan tidak disambung kontrak perkhidmatan sejak tahun lalu.

Mohd Idrus berkata pengurangan bajet sehingga 30 hingga 40 peratus oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun lalu memaksa pengurusan universiti untuk tidak menyambung kontrak berkenaan.

Mengulas lanjut, Musa berkata isu pensyarah diberhentikan bagaimana pun setakat ini tidak berlaku di USIM memandangkan bilangan pensyarah kontrak di universiti itu tidak ramai.

"Saya hendak menasihatkan agar semua pensyarah sentiasa menjaga prestasi mereka ke tahap yang lebih baik," katanya.
-Bernama