Polis nafi pusat beli belah, tempat awam jadi sasaran pengganas
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan penyebaran maklumat di laman sosial kononnya pusat-pusat membeli-belah dan tempat-tempat awam kini menjadi sasaran kumpulan pengganas.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara SAC Datin Asmawati Ahmad berkata maklumat tersebar menerusi aplikasi WhatSApp itu turut mendakwa kerajaan telah mengeluarkan amaran berhubung perkara ini dan meminta orang ramai berwaspada.
"PDRM sahkan bahawa maklumat berkenaan adalah palsu dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menakut-nakutkan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan semalam.
PDRM akan terus berusaha untuk mengekalkan keselamatan awam dan memelihara kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman dari dalam dan luar negara, katanya.
- Bernama

