Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM sahkan dua rakyat Malaysia tinggalkan Korea Utara
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 3:25 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Dua petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merupakan antara 11 rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara telah meninggalkan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan dua warga Malaysia berkenaan yang merupakan peserta Program Makanan Sedunia (WFP), selamat tiba di Beijing.

"Alhamdulillah saya dimaklumkan bahawa dua rakyat Malaysia di bawah @UN World Food Prog dibenarkan keluar dari Pyongyang. Mereka kini selamat di Beijing,"katanya.

Dua rakyat Malaysia berkenaan dikenali sebagai Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy.

Pyongyang Selasa lalu melarang rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara sehingga isu pembunuhan Kim Jong-nam diselesaikan dengan wajar.

Ini susulan keputusan Wisma Putra mengarahkan Duta Korea Utara, Kang Chol meninggalkan negara ini kerana menuduh Malaysia berkomplot bagi menyalahkan republik itu di atas pembunuhan tersebut.

Najib mengutuk tindakan Korea Utara menjadikan rakyat Malaysia sebagai "tebusan" dan melakukan tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.

Rakyat Malaysia lain yang berada di Korea Utara adalah tiga kakitangan kedutaan dan enam ahli keluarga mereka.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada 13 Februari.

Polis mendakwa dua wanita, seorang warga Indonesia dan Vietnam terlibat dalam pembunuhan itu ketika Jong-nam menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau.

Kedua-dua mereka didakwa menekup muka mangsa dengan agen saraf VX, sejenis bahan kimia yang diklasifikasikan oleh PBB sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Korea Utara mendakwa Malaysia memalsukan bukti dan berpakat dengan kuasa luar, satu tuduhan yang membawa kepada pengusiran dutanya di negara ini.

Lihat Komen
ADS