Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS jangka kutip RM1b jika tawan Terengganu
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 4:10 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Hasil perolehan kerajaan Terengganu dapat ditingkatkan menjadi RM1 bilion setahun jika PAS berjaya memerintah negeri itu, kata seorang pemimpinnya.

Memetik kenyataan timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu, Harakahdaily melaporkan, hasil itu boleh diperolehi dengan cara mengeksploitasi tujuh sektor industri yang tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan BN hari ini.

Kata Dr Alias Razak, antara sektor yang dimaksudkanna itu ialah sumber asli, pertanian, perikanan dan pelancongan.

Hasil itu, katanya, tidak termasuk dana khas daripada sektor petroleum yang dikutip sebanyak RM430 juta setahun.

"Jika dikira dengan hasil dana khas itu, kerajaan Terengganu akan memperoleh pendapatan lebih RM1 bilion setahun.

"Cara perbelanjaan berhemah kerajaan PAS negeri akan lebih baik dilaksanakan berbanding perbelanjaan hasil RM2 bilion di bawah kerajaan BN," katanya.

Dr Alias juga menegaskan, semua hasil dipungut kerajaan negeri akan dibelanjakan secara cekap dan berhemah untuk rakyat Terengganu jika pengundi memberi mandat kepada PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Dari 28 tinggal 4

Untuk rekod, PAS pernah diberi kepercayaan oleh majoriti pengundi Terengganu pada PRU ke-10 yang diadakan pada 1999. Bersama pakatan pembangkang dalam Barisan Alternatif, mereka mengatasi BN dengan memenangi tujuh daripada lapan kerusi parlimen, dan 28 daripada 32 kerusi DUN.

Ekoran kejayaan itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun kerajaan PAS hanya sempat bertahan selama satu penggal.

Pada PRU ke-11 yang diadakan pada 21 Mac 2004 BN kembali menguasai Terengganu. PAS hanya mampu mengekalkan empat kerusi DUN dan hilang semua kerusi parlimen yang dikuasainya pada 1999.

Kata Dr Alias, kerajaan BN memang popular dengan amalan rasuah dan ketirisan serta urus tadbir yang tidak cekap sejak dulu sehingga sekarang.

Beliau sebelum itu mengupas lima tawaran awal manifesto PAS jika parti itu diberi mandat memerintah Terengganu selepas PRU ke-14.

Dr Alias yang juga ADUN Bukit Tunggal berkata, banyak sektor tidak dimanfaatkan kerajaan ketika ini, termasuk air mentah Tasik Kenyir, bijih besi, emas, bauksit, silika dan lain-lain.

"Kita boleh berniaga (air dari Tasik Kenyir) dengan negeri berhampiran," katanya.

Lihat Komen
ADS