Polis awal hari ini menahan seorang lelaki berusia 32 tahun berkaitan dengan kes kehilangan paderi Raymond Koh di Petaling Jaya sejak tiga minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, suspek itu ditahan di Ampang, Selangor.

"Lebih kurang jam 3.30 pagi, pihak polis telah berjaya menangkap suspek, seorang lelaki Cina berumur 32 tahun di kawasan Ampang, Selangor hasil daripada maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.

"Suspek telah menghubungi ahli keluarga mangsa sehari sebelum tangkapan dibuat dan meminta sejumlah wang untuk pembebasan paderi tersebut," katanya dalam satu kenytaan media.

Beliau berkata suspek itu akan ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Koh dilaporkan hilang sejak 13 Februari lalu apabila beberapa lelaki bertopeng dalam sebuah SUV hitam menyekat keretanya dan menculiknya.

Kejadian itu berjaya dirakamkan oleh sebuah kamera litar tertututp (CCTV) di kawasan kejiranan berkenaan.

Berikutan itu, timbul spekulasi bahawa kes berkenaan berkaitan dengan salah faham agama.

Pada tahun 2011, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendakwa NGO Komuniti Harapan yang dipimpin oleh Koh cuba memurtadkan umat Islam selepas melakukan serbuan pada sebuah majlis makan malam mengumpul dana di Gereja Methodist Damansara Utama.

Walau bagaimanapun, paderi itu tidak pernah didakwa atau dikenakan sebarang tindakan.

[Baca berita penuh]