Asyraf Wajdi terpikat dengan 21 buku tarbiah PAS
Diundang bercakap dalam forum anjuran PAS dimanfaatkan sepenuhnya oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk memahami wacana politik parti Islam itu.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hari ini sempat berkunjung ke kedai buku Harakah, organ rasmi PAS, di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
"Menarik juga buku-buku di sini yang tidak pernah saya temui di kedai buku lain.
"(Sebanyak) 21 judul buku sempat saya beli. Tak sabar nak cari masa membaca ini," katanya yang menggunakan hashtag #partiislamsemalaysia.
Asyraf, yang mempunyai latar belakang pendidikan agama, kelihatan turut menatang pelbagai buku, antaranya Manhaj Usrah PAS Peringkat Ta'arif 1 terbitan lajnah tarbiah parti itu.
Beliau juga kelihatan khusyuk meneliti buku-buku dipamer, antaranya termasuk beberapa karya berkaitan bekas mursyidul am PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, buku berkaitan akidah, solat dan sirah nabi.
Asyraf hari ini diundang dalam forum bertajuk “Pasca Himpunan 355: Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera" bersama Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Asyraf antara pemimpin kerajaan dan Umno yang hadir dalam perhimpunan mendukung usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 anjuran PAS di Kuala Lumpur bulan lalu.
Usul oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertujuan menambah hukuman maksimum mahkamah syariah kepada 100 sebatan syarie, denda RM100,000 dan penjara 30 tahun.
Ia dicadang untuk perbincangan dalam sesi parlimen kali ini, yang bermula Isnin lepas.
Bagaimanapun, menjawab soalan wartawan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman hari ini berharap rang undang-undang Akta Kebankrapan dan Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak dapat didahulukan.

