Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Keterlibatan belia dalam radikalisme membimbangkan'

Keterlibatan golongan belia dalam gerakan radikalisme agak membimbangkan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Timbalan perdana menteri berkata ini kerana 80 peratus daripada tangkapan yang dibuat Polis Diraja Malaysia sehingga 20 Sept tahun lepas melibatkan mereka yang di bawah umur 40 tahun.

Katanya kajian komprehensif yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia telah mengenal pasti tahap kecenderungan penglibatan dan sokongan belia terhadap aktiviti dan gerakan kumpulan ISIS@Daesh.

"Kajian itu telah mengambil kira aspek profil demografi dan psikologi serta memetakan faktor-faktor yang menyebabkan belia di Malaysia tertarik mengikuti kumpulan ISIS," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Siri 5 di Putrajaya.

Ahmad Zahid yang mempengerusikan mesyuarat selama dua jam itu turut memfokuskan perbincangan kepada bentuk ancaman yang dihadapi oleh generasi belia alaf baru serta usaha-usaha untuk memantapkan jati diri belia.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata garis panduan mengenai Pencegahan Fahaman Ekstremisme dan Radikalisme dalam kalangan masyarakat telah dihasilkan untuk memberi pengetahuan, pendedahan dan panduan kepada semua pihak berhubung ancaman tersebut.

Beliau berkata pelbagai program pencegahan gerakan radikalisme telah dirangka oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk dikoordinasi secara bersepadu bersama kementerian dan agensi lain.

"Aspek pencegahan umum diberi keutamaan di mana strategi yang diketengahkan ialah mengoptimumkan peranan media sosial sebagai medium untuk menyebarluaskan 'narrative content'.

"Penyampaian 'narrative content' dibuat dalam bentuk yang kreatif dan digital kerana golongan belia lebih tertarik dengan pendekatan inovatif," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan program advokasi dan pendidikan perlu dilaksanakan secara berterusan kerana golongan belia di negara ini merupakan komposisi penduduk yang terbesar iaitu melebihi 46 peratus daripada 31.7 juta orang yang direkodkan pada tahun 2016.

Justeru, beliau meminta semua peringkat masyarakat supaya sentiasa peka terhadap faktor-faktor yang mendorong belia terpengaruh dengan gejala negatif agar peranan belia dapat dimanfaatkan untuk perkara yang lebih berfaedah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penglibatan generasi belia bersama-sama kerajaan perlu dimantapkan lagi untuk mengetepikan sebarang pengaruh negatif bagi memastikan usaha memartabatkan Malaysia sebagai 20 negara terbaik di dunia dicapai menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik berdasarkan aspirasi golongan belia hari ini untuk membentuk masyarakat Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang, katanya.

Dalam mesyuarat itu, dua kertas pertimbangan dan enam kertas kerja telah dibincangkan, antaranya Hasil Kajian Profil Belia dalam Kegiatan Ektremisme, Program Pencegahan Radikalisme Dalam Kalangan Belia dan Pelaksanaan Dasar Belia Malaysia. -Bernama

Lihat Komen
ADS