Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penemuan mayat bayi di surau, pengawal keselamatan ditahan
Diterbitkan:  Mar 10, 2017 6:04 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Polis menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan bayi perempuan yang tidak bernyawa di perkarangan surau pangsapuri Presint 9 di Putrajaya Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata bertindak atas maklumat dan siasatan, polis menahan lelaki berumur 21 tahun itu pada jam 1.50 pagi tadi di Presint 3.

Polis turut merampas sebuah kereta Myvi putih yang disyaki digunakan untuk membawa mayat bayi tersebut ke surau berkenaan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat bayi tersebut diletak di dalam beg kitar semula beserta sekeping nota yang memohon agar pihak surau memandi dan mengkapan mayat bayi itu, yang ditemui di perkarangan Surau Abu Bakar As-Siddiq di Presint 9 kira-kira 8.30 malam.

Rosly berkata pemeriksaan polis turut menemui sehelai baju panas berwarna kelabu yang dipercayai dipakai lelaki tersebut ketika hari kejadian dalam kereta itu.

Lelaki itu kini direman sehingga Ahad ini, katanya.

Rosly berkata keputusan bedah siasat mendapati punca kematian bayi tersebut adalah kerana dilahirkan pramatang.

Beliau berkata ukuran panjang badan, ukur lilit kepala, dada dan berat menunjukkan bayi tersebut adalah bayi pramatang.

"Bayi tersebut tiada tanda-tanda cedera di badan. Selain itu ia tidak ada tanda-tanda hidup kerana paru-parunya tidak kembang,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS