Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, PAS telah bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan pihaknya dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Adalah dijelaskan bahawa kenyataan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) adalah merujuk kepada persetujuan PAS untuk mengadakan rundingan kerusi dengan BERSATU yang dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa bersama antara kedua-dua parti pada 2 Februari yang lalu.

"Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan susulan mengenainya. BERSATU juga mengambil maklum mengenai keputusan jawatankuasa kerja PAS Pusat pada 17 Februari 2017 bahawa parti itu bersedia untuk meneruskan rundingan dengannya.

"Malah, sepertimana yang dilaporkan oleh media, jawatankuasa perundingan PAS Pusat telah diwujudkan untuk meneliti pemuafakatan dengan BERSATU," kata beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang menafikan dakwaan parti itu bersetuju berunding mengagih kerusi pilihan raya umum dengan BERSATU.

Portal Utusan Malaysia Online memetiknya sebagai berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau arahan pun mengenai perkara itu sambil menegaskan keputusan untuk mengagih kerusi adalah hak mutlak Pesuruhjaya PAS negeri.

“Tidak ada, setakat ini kita tidak ada maklumat bahawa PAS ajak BERSATU untuk pengagihan kerusi.

“Kita cuma diberi laluan untuk bersama atas pentas menyatakan perjuangan masing-masing,” katanya yang dipetik portal itu selepas menghadiri sebuah majlis di Kota Bahru.

Mengulas lanjut, Shahruddin berkata, pihaknya sentiasa menyambut baik sebarang usaha untuk mewujudkan persefahaman dan pemuafakatan antara parti-parti pembangkang dalam menghadapi pilihanraya umum ke-14.

"Rundingan kerusi antara parti-parti pembangkang adalah proses yang penting untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN dapat dicapai. Justeru, kesediaan mana-mana parti pembangkan untuk berunding adalah amat dialu-alukan," jelasnya.