Penganjur sebuah forum mendakwa bahawa pendakwah yang dijadual bercakap mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, telah menerima tekanan supaya menarik diri daripada menghadiri forum itu malam tadi.

Pendakwah tersebut, Nurul Haq Shahrir, sepatutnya hadir sebagai ahli panel di forum tersebut yang bertemakan 'Implikasi RUU 355 Hadi' di Kuala Lumpur, yang dianjurkan oleh biro keharmonian agama MCA.

Bagaimanapun, Nurul Haq tidak muncul, dan pengerusi biro itu, Ti Lian Ker berkata ia kerana tekanan yang diterima oleh pendakwah tersebut.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas menjadi pemudahcara forum tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan pihak yang memberi tekanan terhadap Nurul Haq supaya menarik diri. Bila ditanya, beliau berkata ini adalah perkara peribadi.

Nurul Haq adalah ahli panel transformasi undang-undang Islam, Majlis Dakwah Negara. Beliau baru-baru ini mengundang kontroversi selepas tulisannya yang bertajuk 'Hadi’s bill: A violation of the syariah’ disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 25 Februari.

Ahli panel lain di forum malam tadi termasuk Ketua Pemuda MCA Putrajaya Kevin Koo, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Moeis Basri, Naib Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism Malaysia (MCCBCHST),Sardar Jagir Singh dan penolong pengarang berita Malay Mail Online, Zurairi Abdul Rahman.

Menjawab soalan sama ada PAS akan dijemput untuk berucap dalam forum masa depan yang dianjurkan oleh biro itu, Ti berkata ya, tetapi hanya jika tujuannya adalah untuk bertukar pandangan dan mencari titik persamaan dan bukannya untuk bertelagah antara satu sama lain.
 
[Baca berita penuh]