Protes bantah penjualan tapak pusat komuniti Seputeh
Satu protes kecil di luar pusat komuniti Seputeh menyebabkan berlaku pertengkaran kecil antara peserta bantahan itu dengan mereka di dalam pusat tersebut hari ini.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan sekumpulan kecil penduduk memegang sepanduk semasa satu sidang media hari ini di seberang jalan dari pusat tersebut.
Mereka membantah penjualan tanah di mana pusat komuniti itu dibina, untuk pembangunan perumahan mampu milik.
Bagaimanapun, satu majlis perkahwinan sedang diadakan di pusat komuniti itu dan protes di seberang jalan itu tidak disenangi sesetengah mereka di dalam bangunan itu.
Beberapa orang, termasuk seorang wanita dan seorang lelaki keluar untuk berhadapan dengan peserta protes itu.
"Apa perasaan kamu jika seseorang datang mengadakan protes di luar rumah kamu?" lelaki itu bertanya kepada peserta protes itu.
"Adakah ini rumah kamu? Adakah ini rumah Umno?" salah seorang peserta protes itu bertanya.
"Ya, betul," jawab lelaki itu.
Sementara itu, pada masa yang sama, wanita tadi menjerit ke arah seorang lagi peserta protes itu, dengan berkata protes itu telah mengganggu majlis perkahwinan itu.

