Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelancong Arab Saudi dijangka meningkat tahun ini

Jumlah kehadiran pelancong Arab Saudi ke Malaysia dijangka meningkat lima peratus tahun ini hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Konsul Tourism Malaysia di Arab Saudi, Mohd Nasir Kushairi berkata hubungan baik yang diperlihatkan kedua-dua negara telah menambah keyakinan rakyat negara Timur Tengah itu untuk melancong ke Malaysia yang sememangnya mempunyai pelbagai
tarikan pelancongan.

"Kebanyakan pengunjung Arab Saudi akan berada di Malaysia selama dua minggu ke atas dan berbelanja sekitar RM10,000 setiap seorang dan ini memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara," katanya ketika ditemui pemberita di Pameran Buku Antarabangsa Riyadh 2017 di Riyadh.

Beliau berkata pada 2016, seramai 123,878 pelancong Arab Saudi berkunjung ke Malaysia berbanding 99,754 pada tahun sebelumnya.

Raja Salman mengetuai delegasi 600 anggota ke Malaysia dalam lawatan negara dari 26 Feb hingga 1 Mac lepas.

Tujuh memorandum persefahaman, dengan anggaran keseluruhan bernilai RM9.74 bilion, ditandatangani antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi, meliputi bidang pembinaan, kerjasama halal, aeroangkasa dan perkhidmatan haji.

Mohd Nasir berkata pihaknya akan meningkatkan promosi pelancongan khususnya ke Sabah dan Sarawak yang masih kurang dikenali dalam kalangan pelancong Arab Saudi.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan negeri mengambil peluang bekerjasama dengan pejabat Tourism Malaysia di Jeddah dalam mempromosikan produk pelancongan negeri masing-masing. -Bernama

Lihat Komen
ADS