Dr Subra harap waris akan tuntut jasad Jong-nam
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini melahirkan harapan bahawa keluarga atau waris Kim Jong-nam akan tampil untuk menuntut jasadnya.
"Kami diberitahu bahwa beliau mempunyai isteri atau isteri-isteri dan anak-anak.
“Oleh itu, kita berharap mereka akan bertindak balas dan tampil untuk menuntut jasadnya," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Subramaniam, berkata memandangkan polis telah mengesahkan bahawa jasad itu adalah Jong-nam, beliau berharap perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Sebelum itu, terdapat laporan mendakwa bahawa identiti Jong-nam disahkan berdasarkan rekod cap jari yang dibekalkan oleh Jepun.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata identiti Jong-nam yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol telah dikenal pasti tetapi enggan mendedahkan bagaimana cara ia dilakukan.
Jong-nam, 46, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia pada 13 Februari lalu selepas beliau diserang dengan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).
Susulan itu, dua wanita, masing-masing warga Vietnam dan Indonesia telah ditangkap dan didakwa manakala beberapa suspek lain telah melarikan diri termasuk dua yang dipercayai pihak polis sedang menyorok di kedutaan Korea Utara.
Ini kemudiannya mencetuskan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dengan Pyongyang.
Mengulas lanjut, Subramaniam juga mengesahkan mayat Jong-nam masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Mayat Jong-nam masih berada di HKL.
Sedang mencari penyelesaian," kata Subramaniam.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata tiada peraturan yang mengehadkan tempoh masa untuk mana-mana mayat disimpan di hospital.
Dr Hilmi berkata kerajaan mempunyai masa untuk memutuskan sebarang langkah bagi pengurusan mayat Jong-nam.
Berhubung sama ada tuntutan mayat perlu diserahkan kepada keluarganya, Dr Hilmi berkata kebiasaannya jika terdapat sebarang kematian, mengikut undang-undang negara ini mayat harus diserahkan kepada waris si mati.
Sekiranya si mati tidak dituntut langsung oleh waris atau keluarganya, mayat itu boleh ditanam di Malaysia.

