Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP pertimbang saman laman BNBBC
Diterbitkan:  Mar 13, 2017 4:15 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok sedang mempertimbangkan keputusan untuk menyaman laman Majlis Anggota Parlimen BN (BNBBC).

Beliau mendakwa kenyataannya berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) – agensi yang menguruskan dana kebajikan negeri itu – telah diputar belit.

“Adalah jelas mereka ingin memburukkan nama baik saya dalam satu isu yang mana saya langsung tidak bersalah.

“Saya akan berbincang dengan peguam saya tentang kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap BNBBC dan juga portal online (atas talian) yang lain,” katanya.

Kok mendakwa laporan itu sebagai tuduhan palsu dan mengelirukan.

Portal BNBBC pada 9 Mac lalu melaporkan Teresa mengakui menerima dana Yawas, tidak sampai 24 selepas menafikan perkara itu.

Portal itu melaporkan Teresa, bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Kinrara), sebagai berkata setiap wakil rakyat di Selangor menerima kad ATM sejak zaman Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi menteri besar.

Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunus sebelum ini mendakwa Teresa menggunakan wang hampir RM2 juta sejak 2016 sehingga 24 Februari 2017 yang dikeluarkan dengan kad ATM atas namanya.

“Teresa merupakan wakil rakyat pembohong, tak boleh dipercayai dan seorang yang hipokrit. tuntutan dana yang perlu diberi pada setiap waris adalah sebanyak RM2500, tapi kebanyakan daripada mereka hanya baru terima RM1000 sahaja.

“Dia telah menggunakan dana YAWAS sebanyak RM2 juta yang dikeluarkan menggunakan kad ATM Ambank atas namanya sendiri,” kata Jamal, seperti dilaporkan BNBBC.

Tiada fakta pemberian

Sementara itu, dalam kenyataannya, Kok berkata laporan di BNCCB itu menunjukkan penulis sengaja tidak membentangkan fakta pemberian wang ehsan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diterangkannya.

SMUE antara skim yang diuruskan oleh Yawas.

Mengulas prosedur pemberian bantuan itu, Kok berkata bantuan SMUE sebanyak akan RM2,500 diberi kepada keluarga yang anggotanya meninggal dunia.
Bagaimanapun, katanya, pembayaran dibuat dua kali, iaitu RM1,000 pada kali pertama dan RM1,500 untuk seterusnya.

ADUN Pakatan Rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur diberi kuasa untuk memberikan wang itu kepada kumpulan sasar, katanya lagi.

Beliau juga berkata wakil-wakil rakyat terlibat diberikan satu kad ATM dan akaun khas atas namanya.

Dana permulaan RM10,000 akan disalurkan sebelum ditambah selepas dokumen-dokumen pemohon diserahkan kepada pejabat daerah untuk rekod.

“Semua rekod pemberian wang ehsan kepada waris si-mati yang merupakan warga Selangor telah disimpan baik oleh pejabat daerah.

“Saya tidak pernah melakukan apa-apa penyelewengan dari segi pemberian wang ehsan. Pejabat daerah Petaling mempunyai semua rekod penerima wang SMUE,” kata anggota parlimen Seputeh itu.

Lihat Komen
ADS