Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenaikan ketara harga ikan kembung di negara ini berlaku ekoran perubahan cuaca yang dianggap luar biasa, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menjawab soalan Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar), Ahmad Shabery berkata keadaan itu menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ikan berkenaan.

"Selalunya bulan Mac dijangkakan ikan kembung ada banyak, tetapi daripada apa yang kita pantau, sekarang ia belum naik.

"Ada (berlaku) kelainan dari segi pola cuaca, tengkujuh pun agak berbeza kali ini," katanya di Dewan Rakyat.

Ikan kembung dianggap antara ikan yang paling lazim dijual di pasar dan mampu dibeli kebanyakan pengguna kerana harganya yang agak rendah.

Bagaimanapun baru-baru ini harga ikan itu meningkat sehingga RM20 sekilogram.

Menjawab soalan tambahan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat), Ahmad Shabery berkata kerajaan tidak bercadang untuk meletakkan harga siling bagi ikan kembung.

"Dalam ekonomi, kalau kurang campur tangan (daripada kerajaan) ia adalah lebih baik. Biar pasaran yang tentukan (harga). Kalau kita terlalu kawal, akan ada kesan lain.

"Sehingga sekarang kerajaan tidak berhasrat mengenakan harga siling bagi ikan kembung, siakap, kerapu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS