Tahanan Akta Keselamatan Negeri (ISA) Dr Badrul Amin Bahron dicadangkan sebagai calon pilihanraya kecil Likas, Sabah yang dijadualkan bermula pada 12 Julai ini.

"Sungguhpun Dr Badrul kini ditahan di bawah ISA dan masih dikurung di kem Kamunting, Taiping, tetapi ini tidak menjejaskan kelayakan beliau sebagai calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu," kata Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Low Chee Chong dalam satu kenyataan hari.

Dr Badrul, bersama seorang lagi aktivis parti itu Lokman Noor Adam, ditahan selama dua tahun di kem itu mulai 14 Jun lalu. Empat lagi pemimpin parti itu dan aktivis reformasi ditahan untuk tempoh yang sama sejak 2 Jun.

Low berkata, biro politik Pemuda Keadilan menyarankan calon itu kepada barisan pemimpin tertinggi parti itu memandangkan tahanan ISA itu Ketua Penerangan Keadilan dan juga Ketua Pemuda bagi negeri itu.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu dilahirkan di Tawau.

Menurut Low, ketika dihubungi, beberapa pemimpin kanan parti itu akan berunding dengan parti komponen lain Barisan Alternatif dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengenai calon pembangkang yang akan bertanding di situ.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan menguatkan lagi tekanan terhadap kerajaan agar menghormati hak asasi aktivis parti itu yang ditahan.

"Cadangan itu juga berhasrat meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kekejaman ISA," kata Low.

Chan Kok Kit, seorang pengasas DAP, yang ditahan di kem Kamunting pernah memenangi kerusi Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1978 dengan majoriti 33,687 undi.

Pilihan raya Likas yang dijadualkan 21 Julai diadakan selepas mahkamah bulan lalu membatalkan kemenangan kerusi tersebut akibat daftar pemilih yang mengandungi senarai pengundi yang tidak sah.