‘Undang-undang baru tumpu kepada jenayah seksual’
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berkata, ahli parlimen boleh membahaskan sebarang cadangan, termasuk menetapkan peruntukan menghalang perkahwinan bawah umur dalam undang-undang baru berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.
Bagaimanapun, katanya, fokus utama adalah memerangi jenayah seksual kanak-kanak.
"Bagi saya, bila kita nak bahaskan rang undang-undang jenayah seksual, mereka sebagai anggota parlimen boleh bawa apa-apa isu untuk dibahaskan dalam parlimen. Itu hak mereka.
"Tapi bagi saya, kita tengok pada elemen jenayah seksual setakat ini. Lebih kepada elemen jenayah," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang mencadangkan agar kerajaan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dalam undang-undang baru yang akan dibentang bagi menangani masalah jenayah seksual kanak-kanak.
Selain itu, Azalina berkata lagi, satu taklimat mengenai rang undang-undang berkenaan juga akan diberikan kepada anggota parlimen selepas kertas pindaan akta berkenaan diedarkan ke setiap anggota parlimen.
"Saya akan panggil dua kumpulan antara kumpulan penyokong BN dan anggota parlimen pembangkang untuk beri taklimat dan perbincangan tentang rang undang-undang ini," katanya sambil menambah bahawa beliau berharap rang undang-undang berkenaan tidak mendapat bantahan.
Rang undang-undang Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak akan dibentang untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang Parlimen kali ini.
Akta itu bertujuan bagi membenarkan kerajaan mewujudkan mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak yang memendekkan perbicaraan kes dalam tempoh setahun.

