Malaysia bantah resolusi EU mengenai minyak sawit
Malaysia, sebagai pengeluar minyak sawit, membantah keras cadangan resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengenai komoditi tersebut, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Menurutnya, resolusi itu yang dijadual dibentangkan pada April, antara lain menekankan keperluan pensijilan tunggal yang akan memastikan hanya minyak sawit yang dihasilkan secara lestari boleh memasuki pasaran EU.
Resolusi itu juga merangkumi syarat pelabelan makanan, yang menunjukkan minyak sawit dihasilkan secara lestari melalui pembungkusan atau maklumat yang boleh diakses melalui ciri-ciri teknologi.
Mah berkata, Malaysia membantah keras resolusi itu kerana ia akan memberi kesan negatif ke atas import minyak sawit ke EU dan kesan amat buruk ke atas ekonomi negara pengeluar.
Ketika ini, katanya, EU adalah pasaran terbesar minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia, dengan eksport pada 2016 bernilai RM10 bilion.
"Resolusi seperti itu dianggap sebagai halangan perdagangan dan mungkin mempunyai kesan sangat negatif ke atas eksport Malaysia," kata Mah pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, syarat pelabelan mandatori itu menyasarkan secara khusus produk minyak sawit yang diimport dan boleh dianggap sebagai bertentangan dengan komitmen Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Mah berkata, kementerian itu akan terus melibatkan diri dengan pihak berkepentingan di EU melalui pelbagai inisiatif, termasuk menganjurkan lawatan anggota Parlimen EU ke ladang kelapa sawit bagi mendidik mereka mengenai amalan lestari industri minyak sawit Malaysia.
Selain itu, katanya, Malaysia akan bekerjasama dengan Indonesia di bawah Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bagi menonjolkan pembangunan persekitaran dan kelestarian industri minyak sawit, sumbangannya kepada ekonomi, pembasmian kemiskinan serta kebaikan pemakanan.
"Industri minyak sawit Malaysia adalah antara industri yang paling di kawal selia di dunia seiring dengan kedudukannya sebagai pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit utama global.
"Malaysia secara tegas ingin menyatakan yang industri minyak sawitnya mematuhi amalan lestari," katanya.
Sambil menekankan kesungguhan Malaysia memastikan minyak sawit dihasilkan secara lestari, Mah berkata, Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang dilaksana mulai 2015, akan dijadikan mandatori menjelang Disember 2019.
Tahun lepas eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia meningkat tujuh peratus kepada RM67.6 bilion berbanding RM63.2 bilion pada 2015.
Mah yakin ia akan melepasi RM70 bilion tahun ini, berikutan peningkatan 23.3 peratus kepada RM5.95 bilion pada Januari tahun ini, berbanding RM4.84 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
- Bernama

