Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
China tak sekat rakyat labur di luar negara - duta
Diterbitkan:  Mar 15, 2017 6:35 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Kerajaan China tidak mengenakan sebarang sekatan keluaran modal terhadap rakyatnya yang ingin membuat pelaburan di luar negara termasuk dalam sektor hartanah di Malaysia.

Sebaliknya, Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang menjelaskan langkah itu bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan China dan mengelak mata wang negara itu digunakan dalam aktiviti seperti penggubahan wang haram.

"Kita bukan menyekat aliran keluar modal kerana kami mempunyai rizab yang mencukupi. Malah, rizab kami adalah setinggi US$1 trilion dan (di) kedudukan nombor satu di dunia.

"Semua langkah yang diambil bertujuan untuk mengukuhkan kawalan kewangan dan membendung pengubahan wang haram," katanya dalam bahasa Mandarin kepada pemberita selepas melawat Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Kuantan, hari ini.

Ia diterjemahkan kepada media oleh jurubahasa.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai tindakan China mengambil langkah mengehadkan aliran keluar modal yang dibimbangi menjejaskan pelaburan rakyat itu di Forest City di Gelang Patah, Johor.

Sabtu lalu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan projek Forest City tidak akan terjejas ekoran tindakan China itu memandangkan projek mega merangkumi empat pulau buatan tersebut turut dibuka kepada pembeli antarabangsa lain.

Mengulas mengenai lawatannya hari ini, Huang berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan projek di MCKIP, taman industri kembar kepada Taman Industri China-Malaysia Qinzhou (CMQIP).

Penubuhan MCKIP dan CMQIP menunjukkan hubungan erat antara Malaysia dan China.

"Semuanya berjalan mengikut jadual dan perancangan yang dipersetujui kedua-dua negara. Saya juga gembira melihat pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan air yang sedia ada.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan komitmen yang baik sekali gus memudahkan pelaksanaan projek ini," katanya.

Huang turut meninjau kemajuan dua projek utama iaitu pembinaan kilang besi dan keluli moden bersepadu oleh syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd bernilai RM5.6 bilion yang akan mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan.

Projek lain ialah pembesaran Pelabuhan Kuantan yang akan membolehkan kemudahan itu menggandakan kapasiti sedia ada kepada 52 juta tan berat muatan setahun.
"Projek pembesaran pelabuhan adalah selari dengan pembangunan MCKIP. Ia juga akan membantu memacu Kuantan sebagai sebuah bandar pelabuhan pada masa hadapan," katanya.

Mengulas mengenai pembangunan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Huang berkata projek tersebut dijangka bermula pada separuh kedua 2017 dan siap dalam tempoh enam tahun.

Beliau menambah apabila siap, ECRL akan merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan pantai timur, khususnya Kuantan yang akan menjadi hab utama pengangkutan darat, udara dan air.

- Bernama

Lihat Komen
ADS