Kementerian Kesihatan menunggu pengumuman rasmi kerajaan berhubung pengurusan mayat Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang dibunuh di negara ini bulan lepas.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak kemungkinan akan membuat pengumuman tersebut selepas meneliti kehendak waris berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Penjagaan Kesihatan 2017 bertemakan 'Mengoptimumkan Penyampaian Penjagaan Kesihatan di Malaysia' di ibunegara hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengenai keluarga Jong-nam yang memberi kebenaran kepada kerajaan Malaysia untuk menguruskan mayat rakyat Korea Utara itu.

Jong-nam didakwa dibunuh oleh dua wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX semasa sedang menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 13 Februari.

Beliau yang membawa pasport menggunakan nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

- Bernama