Swift, rangkaian pesanan antara bank yang menjadi tulang belakang kepada sektor kewangan antarabangsa, berkata ia merancang untuk memotong akses baki bank Korea Utara yang masih disambung kepada sistemnya, ekoran semakin meningkatnya kebimbangan terhadap program dan ujian peluru berpandu oleh republik itu.

Swift berkata, akses baki empat bank lagi dalam rangkaian itu akan diputuskan kerana gagal memenuhi kriteria operasi.

Bank-bank itu enggan menyatakan apakah kekurangannya atau sama ada ia telah menerima representasi dari mana-mana kerajaan.

Pakar berkata keputusan memotong akses kepada bank-bank itu yang tidak tertakluk kepada sekatan Kesatuan Eropah (EU) adalah luar biasa dan petanda kemungkinan tekanan diplomatik terhadap Swift.

Swift yang berpangkalan di Belgium sebelum ini enggan menamatkan akses kepada bank-bank Burma, Ruasia atau Syria yang tertakluk kepada sekatan oleh negara-negara lain, seperti Amerika Syarikat, dengan memetik dasarnya yang berkecuali dalam soal politik.

Telah bertahun-tahun Swift mengabaikan tekanan yang dikaitkan dengan program nuklear Iran, dan hanya memotong akses kepada bank-bank Iran pada tahun 2012 selepas EU meluluskan sekatan yang khusus. Swift dipantau oleh bank pusat Belgium yang tertakluk kepada undang-undang EU.

"Bank-bank PRK (Republik Demokratik Rakyat Korea) yang masih bersambung dengan rangkaian ini, tidak lagi mematuhi kriteria keahlian Swift," kata jurucakap Swift Natasha de Teran dalam satu kenyataan.

"Berikutan itu, entiti-entiti ini tidak lagi akan mempunyai akses kepada perkhidmatan pesanan kewangan Swift. Ekoran peningkat perhatian antarabangsa terhadap DPRK, maka Swift telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Belgium dan EU," katanya.

Minggu lepas, pihak berkuasa Belgium berkata mereka tidak lagi akan membenarkan Swift untuk menyediakan perkhidmatan kepada bank-bank Korea Utara yang berada di bawah sekatan PBB.

Ia ekoran laporan PBB pada bulan Februari yang menyatakan Korea Utara telah bergantung kepada akses yang berterusan kepada sistem perbankan antarabangsa untuk melanggar sekatan yang dikenakan berhubung dengan program nuklearnya. [Baca berita penuh]

- Reuters