Seorang pemberita sebuah akhbar Cina memfailkan saman fitnah terhadap ketua Menteri Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi di negeri itu hari ini.

Ong Beng Siang berkata beliau bertindak demikian untuk “membersihkan nama dan maruahnya serta rakan-rakan wartawan”.

Ong, 40, yang telah menjadi pemberita Guang Ming Daily selama 23 tahun, berkata beliau mempunyai reputasi dan dihormati di kalangan kumpulan wartawan.

Ong hari ini hadir ke mahkamah dengan pakaian kemas dengan blazer dan tali leher.

Beliau juga menyelitkan reben kuning di baju yang menjadi lambang perjuangan kebebasan media.

Peguamnya Baljit Singh berkata surat tuntutan guaman telah dihantar pada Lim pada 6 Mac lalu tetapi tidak berbalas.

“Kami failkan saman ini atas dakwaan Lim bahawa Ong tidak beretika, tidak profesional dan mahu menggulingkan kerajaan Pulau Pinang,” kata Baljit selepas memfailkan saman itu hari ini.

Baljit, yang juga ketua biro undang-undang dan hak asasi Gerakan berkata, dakwaan terhadap Ong itu amat serius.

Ong menuntut permohonan maaf, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Lim.

Lim pada 22 Januari lalu dilaporkan berkata di Facebook bahawa terdapat pemberita yang mahu mencemarkan reputasi kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, jika mereka mahu menjatuhkan kerajaan, “gunakanlan fakta dan bukan menyiarkan laporan tidak berasas”.

Lim tidak senang dengan laporan Ong yang mendakwa lembaga pengarah Chung Hwa 3 memutuskan tidak membina cawangan pada tapak tanah yang disediakan kerajaan negeri kerana dasar-dasar yang ketat.

Pengarah sekolah itu bagaimanapun menafikan laporan itu. Ini mendorong Lim mengeluarkan kenyataan balas terhadap Ong.

[Baca berita asal]