Zaid: Anwar mesti namakan pemimpin sementara
Datuk Seri Anwar Ibrahim patut mengumumkan pilihannya sebagai pemimpin sementara untuk memimpin pembangkang menawan Putrajaya, kata bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.
Perkara itu, kata Zaid, dapat membantu pemimpin pembangkang memutuskan bakal perdana menteri.
Zaid berkata demikian ketika mengulas kritikan aktivis BERSIH Mandeep Singh terhadap pembangkang yang kurang bersatu ketika berdepan BN.
“Tiga bulan lalu, saya sebut perkara sama telah dibangkitkan oleh ramai penyokong pembangkang yang kecewa.
“Saya cadangkan Anwar, walaupun sedang dipenjara, patut menamakan pemimpin sementara pembangkang supaya pengundi yakin bahawa pemimpin itu mungkin akan memimpin pembangkang kepada kejayaan,” kata Zaid.
Zaid yang kini menyertai DAP juga berkata kenyataan Mandeep itu mewakili pandangan ramai lagi rakyat Malaysia.

