Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemimpin-pemimpin Umno semua peringkat diminta menggunakan kaedah sasaran mikro dan memberi lebih fokus kepada usaha menambat hati rakyat, dan bukannya mengkritik satu sama lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan sedemikian dapat memperincikan sasaran pengundi dengan melihat keperluan mereka secara berbeza.

"Kita harus memberi perhatian kepada soal yang lebih terperinci. Kita harus memperincikan sasaran kita, bukannya membuat sasaran dalam kalangan kita.

"Sebab itulah 'micro targeting' menyasarkan khalayak pengundi. Kita harus melakukan segmentasi kepada 'market space' dan bukannya 'market place'," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno cawangan-cawangan peringkat Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata pendekatan itu juga sesuai dengan ekosistem dan geopolitik semasa yang sudah berubah berbanding kaedah konvensional yang tidak lagi relevan.

"'Micro targeting' ini harus dilakukan berdasarkan kepada setiap orang, namun kita tidak boleh gunakan pendekatan sama untuk semua orang.

"Selain itu, lihat juga kepada tindakan susulan diikuti dengan semakan serta mesti ada tindakan segera," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Barisan Nasional (BN) masih lagi parti pilihan orang Melayu dan memperoleh kepercayaan lebih 4.11 juta orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Jumlah itu diperoleh berdasarkan kajian yang mencatatkan bahawa daripada 5.23 juta orang yang mengundi BN, hampir 78.6 peratus (4.11 juta) adalah Melayu, katanya.

"Rekod itu jelas menunjukkan masih ramai orang Melayu mahu melihat parti ini memacu negara dan memperjuangkan hak mereka. Orang Melayu masih sayangkan Umno," katanya.

Ahmad Zahid juga menggesa pemimpin UMNO di semua peringkat supaya mengekalkan semangat daya tahan, daya juang dan daya saing mereka bagi menghadapi cabaran sebelum munculnya PRU ke-14.

- Bernama

Lihat Komen
ADS