NGO tayang dokumentari sebabkan Lena didakwa
Beberapa kumpulan hak asasi manusia menunjukkan sokongan terhadap aktivis Lena Hendry dengan menayangkan dokumentari yang menyebabkan aktivis itu menghadapi masalah sebelum ini.
Tayangan 'No Fire Zone: The Killing Files of Sri Lanka berlangsung di pejabat Suaram di Petaling Jaya malam tadi.
Selain Suaram, penganjur bersama tayangan itu adalah Aliran, Asia Pacific Forum For Women, Amnesty International Malaysia, Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina, Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Lawyers for Liberty.
Ia diadakan sebagai sebahagian daripada kempen yang digelar #DefendLena untuk menggesa kerajaan membebaskan wanita itu.
Acara ini menarik kehadiran kira-kira 30 orang, termasuk Lena sendiri. Dokumentari yang dipenuhi grafik disiar secara dalam talian menerusi perkhidmatan perkongsian video Vimeo ketika tayangan semalam.
Dokumentari satu jam setengah oleh wartawan British, Callum Macrae mendokumenkan jenayah perang dalam bulan-bulan terakhir Perang Saudara Sri Lanka melalui gambar-gambar dan video yang diambil oleh mangsa dan mereka yang melakukannya.
Tentera Sri Lanka pada mulanya menafikan dakwaan dokumentari itu, tetapi kemudian suruhanjaya kerajaan Sri Lanka dilaporkan menganggap dakwaan itu boleh dipercayai.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebelum ini mendapati Lena bersalah melanggar Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 kerana tayangan versi awal filem yang sama pada 3 Julai, 2013.
Beliau dikenakan hukuman pada 22 Mac dan bercadang untuk merayu sabitan terhadapnya.
Peruntukan itu antara lain melarang penayangan filem-filem yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dengan denda penalti antara RM5,000 dan RM30,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seksyen 2 (3) Akta Penapisan Filem tersebut menyatakan bahawa tindakan itu tidak terpakai kepada filem-filem yang diterbitkan, dipaparkan, atau diedarkan melalui internet.
Bercakap kepada pemberita selepas tayangan itu, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata beliau tidak bimbang ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan terhadap tayangan malam tadi.
Filem dedahkan jenayah perang
Beliau berkata, apabila filem itu ditayangkan pada tahun 2013 yang menyebabkan Lena ditahan dan didakwa, ia adalah sebahagian daripada usaha meraih sokongan antarabangsa bagi membantu siasatan berhubung jenayah perang yang didakwa di Sri Lanka.
"Oleh itu, ia adalah kempen antarabangsa atas nama hak asasi manusia. Apa Lena lakukan dan apa yang Komas lakukan dengan menayangkan filem itu merupakan satu lagi isyarat untuk menyokong hak asasi manusia.
"Ini persoalannya: Jika terdapat pelanggaran hak asasi manusia dan ia telah difilemkan, maka kita sebagai pembela hak asasi manusia mempunyai hak untuk melihatnya dan mengambil tindakan menentang pelanggaran itu.
"Dari segi ini, kita mahu menunjukkan setiakawan dan sokongan kepada Lena, dan untuk memberitahu dengan jelas bahawa apa yang Lena lakukan adalah satu perkara yang baik dalam kempen antarabangsa terhadap pelanggaran di Sri Lanka," katanya.
Sementara itu, semasa perbincangan dengan penonton mengenai filem itu, Lena berkata kajian perbandingan undang-undang penapisan filem di UK mendapati undang-undang Malaysia adalah antara yang 'paling menindas'.
Beliau berkata Malaysia perlu beralih kepada sistem berasaskan penarafan dan membiarkan penonton membuat keputusan sama ada untuk menonton filem itu, dan bukan mewajibkan setiap filem diluluskan oleh LPF sebelum ia boleh ditayangkan.

