Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ombak Laut sumber tenaga elektrik baru pada 2019

Satu lagi usaha menjana tenaga elektrik dari pukulan ombak laut.

Usaha terbaru ini dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi projeknya dikenali 'Hydraulic Wave Energy Converter System' yang berperanan menyerap kuasa ombak sebelum diproses menjadi sumber tenaga elektrik.

Projek berkenaan adalah hasil tenaga dan fikiran tiga orang pelajar ijazah
sarjana Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT bersama pensyarah mereka, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim selaku ketua.

Seorang anggota kumpulan itu, Khairul Anwar Mohmad, pelajar Ijazah Sarjana Fizik (Tenaga Diperbaharui) berkata, "Melihatkan kawasan UMT yang berhampiran dengan laut, kami mendapat idea untuk menggunakan ombak, sumber alam semula jadi ini, untuk projek tersebut".

Inovasi itu menyerupai aplikasi penggunaan tenaga berasaskan sumber cahaya suria (sistem solar) dan sumber angin (sistem kincir), katanya kepada kepada Bernama di Pameran Elektrik, Kuasa dan Tenaga Diperbaharui Malaysia 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, sistem itu akan ditempatkan di kawasan pantai berhampiran UMT, dan bersifat kalis air serta tahan lasak untuk menerima pukulan ombak.

"Bila sistem ini menerima pukulan ombak setinggi tiga meter secara konsisten dalam tempoh satu jam, ia mampu menjana bekalan elektrik sehingga 40kW atau bersamaan penggunaan untuk empat buah rumah selama sebulan," kata beliau.

Khairul Anwar berkata, pada peringkat awal, tenaga yang dijana akan
dibekalkan secara percuma kepada masyarakat di perkampungan nelayan di Kuala Terengganu.

Katanya, projek itu mendapat geran RM1.4 juta daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan kini dalam fasa rekaan dan penambahbaikan.

"Kami menyasarkan inovasi ini akan digunakan sepenuhnya pada 2019 sekaligus boleh memberi bekalan elektrik percuma kepada golongan nelayan berkenaan," kata beliau. -Bernama

Lihat Komen
ADS