Kedudukan rating Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah merosot kepada 37 peratus pada hari Sabtu lalu, dalam satu tinjauan harian yang dijalankan oleh Gallup, demikian menurut syarikat kajiselidik itu.

Manakala jumlah mereka yang ditemu bual yang menolak Trump, telah meningkat kepada 58 peratus, kata Gallup.

Menurut tinjauan itu lagi, kedua-dua rating menerima dan menolak Trump, adalah pada kedudukan 45 peratus pada 22 Januari, iaitu hari ketiga Trump masuk pejabat.

Gallup telah menjejak kedudukan rating penerimaan terhadap Trump melalui temu bual harian menerusi telefon membabitkan kira-kira 1,500 orang dewasa, kata lamanwebnya.

Tinjauan itu mempunyai margin kesilapan tiga mata peratusan. Trump berdepan dengan kesukaran dengan angka tinjauan sejak sebelum beliau mengambil alih jawatan presiden.

Beberapa hari sebelum beliau rasmi memegang jawatan itu, kedudukan ratingnya ialah 40 peratus - kira-kira separuh daripada sokongan orang ramai kepada pendahulunya Barack Obama pada 78 peratus, pada 2009, menurut Gallup.

Presiden itu, bagaimanapun, telah menolak rating yang rendah itu. "Sebarang rating yang negatif adalah berita palsu," katanya melalui Twitter pada awal Februari.

Pada sidang media bulan lalu, Trump memetik satu tinjauan oleh Rasmussen Reports yang meletakkan kedudukan rating penerimaan terhadapnya pada 55 peratus - pada masa di mana Gallup dan Pew Research diletakkan Kedudukan ratingnya pada masing-masing 40 peratus dan 39 peratus.

Rasmussen meletakkan rating penerimaan terhadap Trump di kalangan pengundi AS pada 48 peratus pada Jumaat lepas. [Baca berita penuh]

- dpa