Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Banjir di Rembau tak ada kaitan dengan empangan pecah
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 9:30 AM
Dikemaskini: 7:33 AM

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) menafikan dakwaan kononnya Empangan Pedas pecah yang mengakibatkan banjir di Rembau dan kawasan sekitarnya semalam.

Pengarah Sains Wan Rasdi Wan Ismail berkata kejadian banjir itu tiada kena-mengena dengan empangan pecah, yang katanya sengaja direka bagi memburukkan lagi keadaan.

"Banjir ini kerana hujan lebat yang menyebabkan limpahan air sungai. Empangan Pedas berada dalam keadaan baik dan jika penuh pun ia (empangan) akan mengeluarkan air melalui alur limpah ke sungai.

"Saya minta orang ramai tidak panik, tidak perlu tular benda yang tidak betul dan tidak perlulah mereka-reka cerita," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas kejadian banjir di Rembau dan Kuala Pilah yang ditularkan dalam media sosial kononnya ia berlaku akibat Empangan Pedas pecah.

Wan Rasdi berkata sekiranya benar, sudah tentu ramai yang terkorban, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Hentikan sebar benda yang tidak sahih. Semua empangan di sini masih dalam keadaan baik dan terkawal," katanya.

Semalam, Anggota Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin menafikan bahawa banjir berkenaan berlaku akibat empangan pecah.

Beliau sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada hujan lebat luar biasa sejak malam kelmarin yang menyebabkan limpahan di Sungai Rembau.

Sementara itu, pusat pemindahan banjir di Balai Raya Sungai Timun di Rembau ditutup 1 tengah hari tadi berikutan banjir sudah surut.

Mejar Pertahanan Awam Mohd Rohaidi Halim berkata kesemua 31 mangsa daripada lima keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia akan memantau keadaan dari semasa ke semasa sekiranya cuaca mendung.

"Buat masa ini cuaca kelihatan cerah dan panas," katanya ketika dihubungi Bernama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS