K'jaan pohon tambahan RM3b untuk Bajet 2016
PARLIMEN l Kerajaan Persekutuan memohon peruntukan tambahan RM3.081 bilion dalam Bajet 2016, dengan RM2.25 bilion daripadanya akan disalurkan kepada dana berkanun.
Sejumlah RM60 juta telah digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya negeri Sarawak pada bulan Mei 2016 manakala RM2.78 juta lagi telah digunakan untuk emolumen, perkhidmatan dan bekalan untuk pilihan raya.
Ini adalah rang undang-undang pembekalan tambahan yang pertama dipohon kerajaan sejak belanjawan pengubah suaian yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Januari 2016.
Najib pada mulanya mengumumkan peruntukan sejumlah RM267.2 bilion bagi Bajet 2016.
Selain daripada RM2.25 bilion untuk dana berkanun, Kementerian Pendidikan akan menerima RM298 juta, RM216 juta untuk Kementerian Pengangkutan, RM128 juta untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, RM104 juta untuk Kementerian Kesihatan dan RM24.13 juta bagi Kementerian Luar.
Tambahan RM20 juta akan disalurkan bagi kerja-kerja menaik taraf lebuhraya Pan Borneo manakala lebih RM250 juta lagi bagi menaik taraf kerja-kerja yang dijalankan di lapan negeri.
Bagi Kementerian Kesihatan, sejumlah RM104 juta telah digunakan untuk menguruskan bekalan perubatan di seluruh negara.
Manakala, Kementerian Luar menggunakan perbelanjaan tambahan bagi hal ehwal pelbagai hala, pejabat wakil di luar negara dan penyelenggaraan bangunan.

