Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas bos cabar portal baru dedah sumber kewangan
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 1:05 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

The Malaysian Insight, portal berita yang bakal menggantikan The Malaysian Insider yang telah diharamkan, dicabar untuk mendedahkan sumber kewangannya oleh bekas penerbitnya.

"Beliau (Bekas Editor, The Malaysian Insider Jahabar Sadiq) telah berkata bahawa sumber kewangan beliau adalah daripada ekuiti swasta, ahli perniagaan dan pinjaman.

"Untuk ketelusan dan demi kepentingan awam, Jahabar seharusnya membekalkan nama-nama mereka dan tidak membiarkan perkara itu diselubungi misteri," kata penerbit The Edge Media Group Ho Kay Tat dalam satu ulasan yang disiarkan oleh The Straits Times, Singapura.

Jahabar sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau mengambil masa 10 bulan "untuk meyakinkan beberapa ekuiti swasta dan ahli perniagaan untuk memberi pinjaman" bagi melancarkan The Malaysian Insight, yang akan bersiaran menjelang akhir bulan ini.

Dalam laporan yang sama, beliau enggan mendedahkan siapa kumpulan itu.

Ho juga mengulas kenyataan Jahabar berhubung "syarikat media besar yang berkata mereka berkongsi nilai sama tetapi menutup kamu atas sebab-sebab komersial sebaik sahaja timbul masalah".

Ho tidak bersetuju dengan dakwaan itu dan menegaskan bahawa The Edge juga berdepan masalah dengan pihak berkuasa mengenai pendedahan 1MDB dalam akhbar mereka, sehingga digantung pada Julai 2015 selama tiga bulan.

"Kami mencabar penggantungan itu di mahkamah, menang dan meneruskan penerbitan selepas sembilan minggu kemudian. Kami tidak lari.

"Tetapi penggantungan itu menyebabkan kami kerugian beberapa juta ringgit dalam pendapatan bagi dua aset menguntungkan itu," katanya.

Selama sembilan minggu, katanya, The Edge terus membayar gaji kakitangan mereka sepenuhnya.

Ini menyebabkan aliran tunai mereka kehabisan sehingga tidak dapat mengekalkan operasi The Malaysian Insider, yang menelan kos RM500,000 sebulan.

"Ini adalah jumlah wang yang besar untuk kumpulan media kecil yang dibiayai secara persendirian yang tidak disokong oleh mana-mana parti politik atau organisasi korporat yang besar," katanya.

The Malaysian Insider ditutup tahun lalu, tidak lama selepas laman web itu disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung satu artikel mengenai 1MDB.

Kumpulan The Edge yang membeli The Malaysian Insider pada bulan Jun 2014, ketika itu berkata kekangan kewangan diburukkan lagi oleh sekatan berkenaan.

"Ia masih disekat sehingga hari ini. Kami telah kehilangan RM13 juta sejak membelinya pada Jun 2014 daripada Jahabar dan pengasas bersamanya.

"Dengan tiada kemungkinan perubahan haluan, dan dengan laman web itu disekat, kami tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menghentikan operasi," kata Ho.

Jahabar pada 16 Mac lalu mengumumkan bahawa The Malaysian Insight akan menggantikan The Malaysian Insider.

Beliau berkata portal baru ini akan bersiaran sebelum akhir bulan "sebagai laman percuma sebelum memperkenalkan paywall kemudian.”

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS