Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PAS tidak mempunyai hak untuk meletakkan syarat ke atas mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

"PAS tidak ada hak untuk meletakkan sebarang syarat (kepada ahli dalam Pakatan Harapan).

“Gabungan dah dibentuk siapa nak masuk boleh – tak ada syarat,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan PAS untuk membincangkan isu memutuskan hubungan dengan PKR pada mesyuarat agung atau muktamar parti itu pada bulan depan.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh, Bayan Baru di Pulau Pinang mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan secara rasmi menerima BERSATU sebagai ahli terbarunya, dan bersetuju dengan cadangan Mahathir bahawa gabungan itu perlu didaftarkan.

Beliau juga mencadangkan pembentukan logo dan simbol sama serta manifesto bagi pilihan raya umum akan datang.

"Sebagai anggota keempat, kita akan bertanding sebagai Pakatan Harapan dan sebab itu perlu ada logo (bersama). Calon yang dipilih adalah calon pakatan dan bukan mana-mana parti.

"Kita perlu pastikan rakyat kenal simbol atau logo yang digunakan pakatan Harapan,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata logo bersama bagi Pakatan Harapan seperti apa yang digunakan oleh BN atau Parti Perikatan suatu ketika dahulu bukannya sesuatu kesalahan.

Justeru, beliau tidak melihat sebarang alasan bagi Pendaftar Pertubuhan untuk menolak hasrat untuk mempunyai logo bersama kerana ia tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang.

"Oleh itu, kita harus mempunyai logo bersama dan manifesto baru," katanya.

Bagaimanapun, Di Mahathir berkata sekiranya, Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkannya, BERSATU sedia bertanding atas logo sendiri.

[Baca berita penuh]