Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ kecam tindakan Pandikar halang media
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 7:02 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak berkata, larangan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini adalah halangan kepada wartawan dalam mendapatkan maklumat secara bebas di Parlimen.

"NUJ menerima laporan tentang larangan terbaru yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada wartawan dan berpendapat ia satu cara untuk menghalang tugas wartawan daripada bebas mendapatkan maklumat di Parlimen.

"Selagi wartawan tidak melanggar peraturan Parlimen, larangan tersebut boleh dianggap satu penindasan kepada tugas wartawan untuk mendapatkan berita yang diperlukan.

"NUJ mengecam larangan seumpama ini yang boleh menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media yang sepatutnya apatah lagi ia berlaku di Parlimen yang menjadi lambang demokrasi di negara ini," katanya dalam kenyataan.

Pandikar membuat ketetapan tidak membenarkan wakil media berkumpul di luar ruang legar dewan persidangan atau lobi parlimen setelah mengambil kira aduan diterima daripada ahli-ahli Parlimen yang menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan pihak media menyerbu untuk mendapatkan komen berkenaan sesuatu isu.

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta, kata Pandikar.

“Saya telah membuat ketetapan bahawa wakil media yang hadir ke Parlimen hendaklah membuat liputan sesi mesyuarat Dewan Rakyat atau sidang akhbar Ahli Parlimen hanya di tempat yang telah disediakan iaitu di pusat media berkuat kuasa serta-merta.

“Jika wakil itu melanggar peraturan tersebut, maka kebenaran itu harus ditarik balik. Jadi sesiapa wakil media yang langgar peraturan ini, maka kebenaran mereka itu saya akan tarik balik,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS