Surat terbuka Menteri Besar Kelantan tidak ikhlas dan gagal menjelaskan kedudukan isu pindaan perlembagaan negeri itu secara berterus-terang, dakwa Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamad hari ini.

"Jika kerajaan PAS ikhlas, mengapa ia tidak melakukannya (meminda) ketika pindaan Perlembagaan Persekutuan (untuk mengurangkan kuasa dan menubuhkan mahkamah khas diraja)," katanya dalam kenyataan.

"Apa yang jelas kepada rakyat ialah sifat berdendam PAS. Pindaan ini dibuat hanya selepas Sultan Kelantan menarik balik bintang kebesaran yang diberikan kepada dua exco (ahli majlis mesyuarat kerajaan) Kelantan pada Januari lalu."

Mustapa juga mengkritik Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mengambil sikap "berkonfrontasi" dengan Sultan dan menyarankan menteri besar itu mengadakan rundingan dengan Istana.

Nik Aziz hari ini menyebarkan surat terbuka kepada orang ramai dan menasihatkan mereka tidak terpengaruh dengan usaha pemimpin Umno untuk cuba mengambil kesempatan politik apabila kerajaan negeri pimpinan PAS gagal mendapat kelulusan Istana untuk meminda perlembagaan.

Pindaan ini akan menarik kuasa daripada Sultan dan memberikannya kepada kerajaan negeri bagi memudahkan pentadbiran, khususnya berhubung pelantikan jawatan penting di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

"Peristiwa riuh-redah yang berlaku di Padang Garong, Kota Bharu pada malam 2 Julai lalu bertujuan mengeruhkan semula air yang sudah dijernihkan bertahun-tahun bagi memudahkan mereka (Umno) menangguk semula di air keruh," kata Nik Aziz dalam surat itu, merujuk hubungan antara kerajaan pimpinannya dengan Sultan.

Pada perhimpunan bagi menjelaskan krisis pindaan perlembagaan negeri anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, wakil rakyat Gua Musang tengku Razaleigh Hamzah berkata Sultan tidak akan menandatangani pindaan itu yang cuba mengehadkan kuasa baginda.

Provokasi sengaja ditimbulkan

Pindaan itu, yang dibentangkan oleh menteri besar pada 25 Jun lalu, diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri selepas disokong sebulat suara oleh 40 wakil rakyat PAS. Dua wakil rakyat Umno Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohamad Saufi Deraman (Galas) tidak menghadiri sidang itu.

"Saya nasihatkan anda sekalian mengelak diri dan beredar jauh daripada perhimpunan yang tidak akan menambahkan ilmu pengetahuan dan tidak boleh mengukuhkan silaturahim sesama sendiri," surat itu dipetik.

Tambahnya, kegelisahan orang ramai berhubung kesahan pindaan perlembagaan telah mulai reda apabila orang ramai sedar penasihat undang-undang negeri turut hadiri dalam sidang itu. Kerajaan negeri juga menerima akuan bertulis daripada Jabatan Peguam Negara yang membenarkan sidang itu, tambahnya.

"Dewan berjalan dengan baik. Dan yang indahnya kita tidak ada bahas pun supaya suasana menjadi lebih tenang dan hening," kata Nik Aziz, dan menggesa masyarakat mengukuhkan perpaduan.

"Jangan biarkan kita diperalatkan oleh pihak yang tidak senang hati dengan nikmat (perpaduan) yang begini mahal. Saya sendiri tidak akan melayani sebarang provokasi yang sengaja ditimbulkan," katanya.

Mursyidul Am PAS itu juga berkata, dalam surat terbuka itu, penjelasan Perdana Menteri ketika membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1994 boleh dijadikan rujukan untuk memahami pindaan undang-undang tubuh negeri baru-baru ini.

"Senang dan jelas. Tak usah banyak-banyak cakap," katanya.

Menurut setiausaha politiknya, Anuar Bakri Haron, sejumlah 1,000 naskhah surat tersebut dalam tulisan jawi dan rumi, diedarkan sejak pagi tadi berjaya mengurangkan kegelisahan rakyat.