Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih RM300j untuk naik taraf hospital, tukar pendawaian
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 4:07 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Kementerian Kesihatan memerlukan bajet tambahan sebanyak RM345.27 juta bagi menaik taraf bangunan hospital-hospital kerajaan dan menukar sistem pendawaian elektrik.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata peruntukan itu merangkumi RM185.87 juta untuk menaik taraf bangunan 78 buah hospital berusia 30 tahun ke atas dan RM159.40 juta untuk menukar sistem pendawaian elektrik di 95 buah hospital.

"Kementerian sedang dalam proses permohonan untuk bajet tambahan daripada Kementerian Kewangan," katanya semasa sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang ingin tahu hasil audit terperinci yang dilakukan di hospital-hospital berusia 50 tahun dan tindakan proaktif kementerian dalam memastikan insiden kebakaran hospital tidak berulang.

Dr Hilmi berkata kementerian dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kerja Raya telah menjalankan audit keselamatan kebakaran di 46 buah hospital yang berusia 50 tahun bagi mengenal pasti sebarang risiko kebakaran.

"Hasil daripada audit keselamatan kebakaran tersebut, pelbagai risiko telah dikenal pasti antaranya sistem pencegah kebakaran yang telah berusia, sistem pepasangan dan pendawaian elektrik yang usang, pepasangan sistem gas perubatan yang tidak mematuhi piawaian semasa termasuk penemuan-penemuan lain," katanya.

Selain itu katanya, hasil kaji selidik risiko kebakaran juga menunjukkan sebahagian besar hospital berkenaan berisiko terdedah kepada kebakaran dan memerlukan kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan segera.

Pada 25 Oktober tahun lepas, kebakaran di tingkat dua Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor yang berpunca daripada kapasitor di dalam lampu yang terbakar telah meragut nyawa enam pesakit dan mencederakan beberapa lagi termasuk kakitangan hospital.

Pada 9 November tahun lepas, kejadian kebakaran turut berlaku di Wad 5B Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak yang berpunca daripada litar pintas pada suis lampu di 'bedhead panel'.

- Bernama

Lihat Komen
ADS