Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lebih baik Annuar beri RM50,000 kepada pelajar cemerlang UniKL'
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 4:51 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan Tan Sri Annuar Musa agar menukar fikiran dengan memberikan dana RM50,000 yang mahu dihadiahkan kepada pemenang esei 'Kit Siang rasis' kepada pelajar miskin cemerlang di UniKL.

"Saya terkejut membaca berita terkini mengenai tawaran Annuar, pengerusi MARA yang digantung tetapi masih berkhidmat sebagai Pro-Canselor UniKL.

"Beliau perlu kembali kepada amanah asal iaitu menjaga kebajikan pendidikan anak-anak bangsa di institusi di bawah seliaan beliau seperti UniKL.

"Saya menasihati beliau mengumumkan bahawa wang RM50,000 itu akan ditukar menjadi hadiah biasiswa kepada pelajar miskin cemerlang di UniKL," kata beliau dalam kenyataan.

Hari ini, Annuar melipat gandakan hadiah untuk pertandingan menulis bertemakan dakwaan rasisme pemimpin DAP Lim Kit Siang kepada RM50,000.

Ketua penerangan Umno mengumumkan perkara itu dalam kenyataan terbaru beberapa jam selepas DAP membuat laporan polis terhadapnya pagi tadi.

“Honorarium/hadiah untuk pihak yangmengemukakan bahan/fakta/penulisan berkaitan pegangan politik YB Lim Kit Siang dinaikkan kepada RM50,000 (hasil sumbangan Hamba Allah),” katanya.

Tajuk pertandingan juga diubah sedikit dengan memasukkan sekali bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkritik utama kerajaan, kata Annuar lagi.

Pada masa yang sama, Rafizi berkata, beliau menasihati pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak lagi melayan karenah Annuar dan jangan terperangkap dengan permainan tawar menawar wang untuk memperlekehkan lawan politik.

"Sesungguhnya rakyat mencemuh kegilaan politik seperti ini dalam keadaan mereka sengsara dengan bebanan ekonomi," jelas ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Lihat Komen
ADS