Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin kini bawa imej 'lebai' di akaun media sosial
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 6:59 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Di tengah-tengah kontroversi sindirannya terhadap “tok lebai”, yang dipercayai merujuk kepada pemimpin PAS Nik Abduh Nik Aziz, Menteri Besar Azmin Ali masih belum membuka mulut.

Bagaimanapun, beliau hari ini menukar gambar profil di kesemua akaun sosialnya – Facebook, Twitter dan Instagram – kepada gambar baru yang memakai kopiah putih, yang juga dikenali sebagai lebai.

Azmin sebelum ini memakai gambar profil sedang minum teh tarik sambil tersenyum bersama orang ramai, tanpa memakai pakaian penutup kepala.

Tanpa menamakan, Azmin Selasa lalu mempersendakan kekuatan seorang 'tok lebai' yang bercita-cita hendak menawan Selangor, walaupun “kalah tersungkur” di kawasan sendiri.

Tulisan itu dibuat kebetulan selepas Nik Aziz berkata, persetujuan untuk PKR menerajui Selangor tidak akan sentiasa kekal seperti sebelum ini.

Nik Abduh mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mereka menyasarkan mentadbir Selangor pada pilihan raya umum ke-14, selain Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak.

Tulisan Azmin itu mengundang kemarahan meluas akar umbi PAS.

Nik Abduh kalah teruk dengan 37 undi pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.

Setakat ini, masih tiada tulisan baru menjelaskan kritikannya pada "tok lebai" itu.

Shuhaimi: Nik Abduh patut minta maaf

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhaimi Shafie berkata Nik Abduh patut memohon maaf kepada Azmin susulan kenyataannya berkaitan persetujuan PAS untuk PKR meneraju Selangor.

Shuhaimi berkata kenyataan Nik Abduh itu tidak bertanggungjawab dan tidak peka dalam menjaga hubungan yang sekian lama terjalin antara PAS dan PKR.

"Pada saya, apa yang dibuat oleh Nik Abduh sama seperti 'terkentut di khayalak ramai'.

“Ia mungkin berbau busuk dan memalukan, namun boleh diselamatkan dengan ungkapan maaf yang sopan darinya,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Sambil memuji kepimpinan PAS Selangor, Shuhami membangkitkan apa maksud kenyataan Nik Abduh itu.

“Jadi, apakah maksud Nik Abduh jika kerajaan yang turut melibatkan pimpinan PAS ini juga ingin diambil alih untuk di perintah oleh PAS?

"Secara tidak langsung adakah ia bermaksud akan wujud kerjasama dengan Umno dalam mentadbir negeri?” soalnya.

Lihat Komen
ADS