Terjemahan Adakah tabiat berjudi bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam telah menjejaskan tugasnya sewaktu dia memegang jawatan tersebut? DAP mahu jawapan terhadap soalan tersebut.

Jika tidak, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ia akan menimbul keraguan terhadap pertanggungjawaban keputusan yang dibuat oleh Osu sewaktu menjadi Ketua Menteri dahulu.

"Rakyat berhak mengetahui sama ada hutang judinya telah mempengaruhi keputusan yang dibuatnya selaku Ketua Menteri atau telah mengumpulkan kemewahan yang banyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Osu, yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah dari tahun 1999 hingga 2001, menanggung hutang perjudian berjumlah lebih RM7 juta.

Selasa lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ian Chin menolak permohonan Ritz Hotel Casino Ltd dan R.H.C Ltd dari United Kingdom untuk mendaftarkan penghakiman yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi di England itu di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak mengikut Akta Pelaksanaan Penghakiman Timbal Balas, 1958.

Peguam tempatan yang mewakili kedua-dua kasino itu berkata semalam, beliau sedang menunggu arahan selanjutnya daripada kliennya sama ada akan memfailkan rayuan ataupun tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, dalam usahanya mendapatkan balik hutang judi sebanyak RM7.14 juta daripada Osu.

Dalam kehakimannya, Chin berkata adalah tidak adil sama sekali bagi kasino memberi kredit seseorang berjudi bukan sahaja sehingga kehilangan apa yang ada pada dirinya, tetapi turut menjejaskan kehidupan isteri dan anak-anaknya, sepertimana dalam kes ini.

Beliau berkata, mungkin boleh diterima sekiranya pihak kasino mempengaruhi seseorang itu berjudi dan kerugiannya hanya terhad kepada apa yang dimilikinya ketika itu sahaja, dan bukan sebaliknya.

Beliau berkata, orang Islam di Malaysia dilarang masuk ke kasino dan sebarang tempat perjudian.

Menurutnya, lesen perjudian diberikan di Malaysia bagi mengelak kegiatan itu dikendalikan oleh golongan bawah tanah, dan bukannya atas sebab-sebab kebaikan.

"Dunia ini akan menjadi yang tempat yang baik jika tidak ada negara yang membenarkan kehakiman untuk menuntut hutang judi apabila pemiutang dipengaruhi untuk berjudi menggunakan kredit dan di luar kemampuannya," katanya.

Sebaliknya, Chin mencadangkan supaya digubal satu undang-undang yang membenarkan pejudi menyaman pihak kasino kerana mempengaruhinya supaya berjudi.

Perbuatan 'memalukan'

Sementara, Guan Eng berkata perbuatan Osu itu 'telah memalukan negara dan Barisan Nasional'.

Beliau juga menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat perkara tersebut supaya ianya tidak menjejaskan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah di negara ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut kecewa, berkata, pemimpin sepatutnya menunjukkan nilai-nilai yang baik dan boleh dicontohi iaitu kepimpinan melalui teladan.

Katanya, pemimpin tidak sepatutnya terlibat dengan kegiatan yang haram di segi agama dan tak bermoral dipandang masyarakat.

Abdullah berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman akan berbincang dengan Umno Sabah mengenai kedudukan Osu. Osu adalah ketua Umno bahagian Papar.