Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noh bidas MB: Mengurus sampah pun kelam kabut
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 5:58 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menempelak kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang mendakwa prestasi ekonomi Malaysia dibantu Selangor dengan mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan di negara ini.

Katanya, Azmin hanya mendabik dada dengan fakta yang tidak tepat sedangkan hakikatnya bukan seperti yang didakwa.

“Cukup-cukuplah Azmin kalau kata Selangor ini hebat, hebat cara mana?

“Urus bola pun tak pandai, boleh pula lari malam. Mengurus sampah pun kelam kabut.

“Mengurus rumah orang miskin pun tak boleh. Bagaimana nak urus Selangor?” soalanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya hari ini.

Azmin pada 20 Mac lalu dipetik akhbar Selangorkini, terbitan kerajaan negeri sebagai berkata, S
elangor terus unggul sebagai indikator utama dalam memastikan Malaysia mampu mencapai status berpendapatan tinggi, menjelang 2020.

Memetik laporan dari Insititusi Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MEIR), katanya, Selangor menjadi negeri terpenting kepada Malaysia sama ada negara berjaya mencapai status berpendapatan tinggi atau tidak menjelang 2020.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Azmin bercakap tanpa fakta, termasuk di Dewan Rakyat.

Beliau juga membidas akhbar kerajaan negeri itu yang juga mendakwa pelabur tidak lagi datang ke Malaysia, kecuali di negeri Selangor.

Katanya, kenyataan itu bukan sahaja tidak betul malah sudah dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

“Saya dah lupa Selangor ini sekarang ini nombor dua atau nombor tiga daripada ranking.

“Dulu masa BN memerintah Selangor nombor satu dalam KDNK negara. Bila Azmin memerintah carta Selangor sudah jatuh.

“Tak silap saya, jumlah pelabur Sarawak lebih tinggi daripada Selangor diikuti Johor,” kata Noh.

Beliau berkata, Azmin sepatutnya menghenti membuat kenyataan popular yang menjadi mainan pembangkang untuk memburuk-burukkan kepimpinan BN dan Umno.

“Dia akan umum perkara yang menyenangkan rakyat, tapi apabila dilaksanakan tidak seperti yang diumumkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS