Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar inflasi dijangka kekal tinggi suku kedua 2017
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 7:04 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Inflasi keseluruhan, yang meningkat tanpa dijangka sebanyak 4.5 peratus pada Februari 2017, diunjur kekal bagi tempoh beberapa bulan akan datang sebelum menurun secara berperingkat susulan harga minyak mentah kembali stabil baru-baru ini.

Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata angka itu dijangka susut pada separuh kedua 2017 sekiranya harga minyak mentah kekal atau berkurangan pada bulan-bulan akan datang.

"Sentimen pengguna dan perbelanjaan mungkin terjejas sedikit ekoran kenaikan harga minyak mentah dan makanan.

"Bagaimanapun, memandangkan pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan adalah kukuh, kami menjangkakan perbelanjaan pengguna akan terus berada pada kadar sederhana," katanya kepada Bernama.

Indeks Harga Pengguna (IHP), ukuran inflasi, meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada 119.7 pada Februari 2017 berbanding 114.5 pada bulan yang sama tahun lepas.

Harga purata satu liter petrol RON95 pada bulan yang dikaji ialah RM2.30 berbanding RM1.75 pada bulan yang sama 2016 manakala RON97 meningkat kepada RM2.60 berbanding RM2.05 pada tempoh sama.

Sementara itu, Affin Hwang Capital Research yakin inflasi keseluruhan tersebut akan berada dalam purata anggaran antara 4.0 dan 4.2 peratus tahun ke tahun bagi separuh pertama 2017, sebelum menurun kepada aliran lebih rendah
diunjur antara 3.0 hingga 3.2 peratus pada separuh kedua 2017.

Bagi 2017, firma penyelidikan itu menjangkakan inflasi akan mencatat purata sekitar 3.5 peratus, lebih tinggi daripada unjuran awal sebanyak 2.7 peratus, namun berada titik tengah sasaran rasmi antara 3.0 dan 4.0 peratus.

"Kami yakin inflasi keseluruhan negara dijangka masih boleh dikawal memandangkan harga minyak mentah global diunjur bergerak antara paras US$50 dan US$55 setong, mengehadkan sebarang kenaikan lagi bagi harga bahan api runcit domestik.

"Begitu juga, penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat mungkin berkurangan dan mengukuh secara berperingkat menjelang separuh kedua 2017 susulan pelaksanaan langkah tukaran asing Bank Negara Malaysia yang berkuat
kuasa dan mengehadkan kesan pindahan ke atas harga domestik," menurutnya dalam satu nota.

Memandangkan peningkatan inflasi adalah didorong kos, Affin Hwang berkata, ia tidak menjangkakan sebarang kesan pindahan kepada aliran harga lebih meluas, memandangkan keadaan permintaan domestik yang baik walaupun tidak berdaya tahan.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus sepanjang 2017, meskipun beberapa cabaran terhadap potensi kenaikan jangkaan inflasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS