Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenapa saya perlu tanya Nazri dulu, soal Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, tidak ada sebab mengapa beliau perlu bertanyakan kepada anggota parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dalam pertemuan Sabtu lalu.

Mahathir berkata, ini kerana menteri pelancongan dan kebudayaan itu yang mahu bertemu dengannya terlebih dulu.

"Mengapa saya perlu bertanya soalan, dia mahu berjumpa dengan saya. Saya fikir dia mahu memberitahu saya dia meletak jawatan dari Umno," kata Mahathir secara berjenaka kepada pemberita, di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, bekas perdana menteri itu menghadiri mesyuarat pertama Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) di pejabat ketua pembangkang Parlimen Malaysia.

Pada program anjuran BERSATU Sabtu lepas, Mahathir mendedahkan Nazri berusaha untuk bertemunya apabila berhenti untuk menikmati cendol dan laksa di sebuah gerai terkenal di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, menurut Mahathir, Nazri hanya mendiamkan diri semasa pertemuan itu.

Namun, Nazri dalam laporannya semalam mendakwa, beliau mendiamkan diri ketika pertemuannya dengan Mahathir kerana tidak ditanya sebarang soalan.

Sementara itu, mengulas debat antara beliau dan Nazri bulan depan, pemimpin veteran itu tetap melahirkan rasa keterujaannya.

"Saya sangat teruja. Saya bersedia. Saya telah bersedia lama," kata Mahathir ringkas.

Lihat Komen
ADS