Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Tidak mudah untuk melihat bagaimana seorang bapa mengalirkan air mata ketika dia membuat rayuan supaya anaknya dibebaskan daripada tahanan.

Bermula dengan kelihatan tenang, suara Atam Jusoh kemudian tersekat-sekat menceritakan detik anaknya, Siti Noor Aishah, ditahan semula oleh pihak berkuasa pada 28 Mac lalu.

Selepas bercakap beberapa saat, Atam mula sebak dan cuba menahan kesedihannya ketika bercakap di depan wartawan di parlimen.

"Saya adalah bapa Siti Noor Aishah, terkejut...... [mula menangis]... terkejut dengan penahanan anak saya di bawa Sosma," katanya merujuk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang digunakan kerajaan untuk bertindak ke atas suspek pengganas.

Menurut Atam, anaknya seorang penuntut di Universiti Malaya dan sedang membuat kajian seperti yang diarah oleh pensyarahnya.

Dalam nada tetap sebak, Atam berkata, buku yang dianggap pihak berkuasa berbahaya dan menjadi punca Siti Noor Aishah ditangkap itu adalah buku yang ditelaah anaknya.

"Tetapi kerajaan menuduh dia memiliki buku yang dianggap sebagai risalah pengganas," katanya.

Siti Noor Aishah ditahan sepasukan polis dari Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pada 22 Mac tahun lalu.

Difahamkan anak sulung daripada lima beradik itu sedang tidur di bilik rumahnya yang sederhana di Dungun, Terengganu, apabila polis khas terbabit menahan dan membawa dia ke balai.

Tak cakap panjang

Siti Noor Aishah ditahan mengikut Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 (Poca).

Dia dikurung di Penjara Pengkalan Chepa lebih sebulan, sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang selama hampir lima bulan.

Pada 29 September 2016 Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Sharif Abu Samah, memerintahkan Siti Noor Aishah dibebaskan selepas mahkamah berpendapat pendakwa gagal membuktikan buku-buku dimiliki pelajar sarjana itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri.

Malah buku-buku tersebut masih tidak diharamkan sehingga kini.

Polis kembali menahannya berkuat kuasa 27 Mac lalu selepas dia hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Siti Noor Aishah hadir ke mahkamah ekoran rayuan dibuat timbalan pendakwa raya terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskannya sebelum ini.

Atam berkata, apa yang berlaku ke atas anaknya itu amat menyedihkannya.

"Jadi, saya minta semua pihak yang bertanggungjawab ke atas (penahanan) anak saya supaya dapat membebaskannya secepat mungkin," katanya.

Menurut Atam, dia juga berharap pembebasan itu akan membolehkan Siti Noor Aishah kembali menyambung pengajiannya di mana-mana universiti yang diingini.

Bagaimanapun Atam tidak dapat memberi kenyataan lebih panjang kerana kelihatan begitu sedih.

"Saya tak boleh (bercakap) panjang kerana saya terlalu sedih sangat terkenangkan anak saya. Saya minta maaf," katanya.

Turut hadir di sidang media di bangunan parlimen itu ialah isteri Atam, Sadiah Ibrahim, 57, serta beberapa anggota parlimen, termasuk Naib Presiden PKR, Tian Chua, serta Ketua Wanita Parti Amanah Negara, Dr Siti Mariah Mahmud.

Lihat Komen
ADS