Abang IGP meninggal dunia
Abang sulung Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, awal hari ini, akibat serangan jantung.
Muhamad Ali, 72, menghembuskan nafas terakhir pada 1.56 pagi selepas digegaskan ke hospital itu pada tengah malam tadi setelah mengadu sesak nafas.
Bercakap kepada pemberita, anak Allahyarham, Dr Noor Khalili, 41, berkata jenazah ayahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada 11.30 pagi.
Pesara guru itu yang tinggal di Taman Guru, Senawang meninggalkan balu Rosnah Abdul Ghani, 68 dan lima anak.
Lebih 200 orang termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhamad Zaki Harun hadir menziarahi jenazah.
Sementara itu, Khalid berkata beliau mengetahui berita kematian abangnya pada 2 pagi.
"Berita ini agak mengejutkan kerana abang saya sihat sebelum ini," katanya.
- Bernama

