Datuk Zaid Ibrahim tidak berganjak dari tawaran RM10,000 untuk esei terbaik yang boleh membuktikan Datuk Seri Najib Razak sebagai 'perdana menteri paling teruk'.

Bekas menteri undang-undang itu berkata, ada pihak yang merasakan beliau tidak serius dan sekadar bertindak balas terhadap tawaran Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang membuat tawaran yang serupa bagi esei Lim Kit Siang sebagai rasis.

"Umno tawarkan lebih banyak wang tetapi pertandingan yang saya anjurkan adalah benar dan lebih tertarik buat penganalisis, penulis dan pemikir yang serius. Tawaran Umno tidak berbaloi untuk dipertimbang secara serius - sekadar gimik politik murahan," katanya dalam blog beliau.

Zaid menuduh Najib menggunakan jawatan yang disandang beliau untuk mengaburi garisan antara kebenaran dan dusta.

"Fakta diputar-belit menjadi konspirasi dan pendapat dari orang-orang yang tidak bersetuju dengan beliau menjadi jenayah. Rakyat bertanya apakah kebenaran telah 'mati' di bawah PM ini," jelasnya.

Dengan itu, ujar Zaid, Najib adalah tidak berbeza dari Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

"Kecuali rakyat Amerika masih mempunyai media yang bebas dan tidak diletakkan dalam cengkaman seperti di sini. Institusi kerajaan seperti FBI, jabatan keadilan, polis dan badan kehakiman masih bebas daripada pejabat presiden.

"Kolej dan universiti masih mampu melengkapkan anak muda Amerika dengan logik yang kukuh, pemikiran kritikal dan mencari kebenaran," tambahnya.

Di Malaysia, dakwa Zaid yang merupakan bekas ahli Parlimen Umno, sistem pendidikan telah menghasilkan minda yang lemah dengan tidak dapat membezakan fakta yang mudah mengenai kehidupan.

[Baca berita penuh]