Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa para aktivis yang bimbang dengan nasib Pulau Jerejak untuk melobi UDA Holdings yang mempunyai projek di pulau itu.

"Jangan 'menyalak pada pokok yang salah'," kata Lim sebagai tindak balas kepada forum awam semalam yang digelar pulau itu sebagai "Alcatraz" Malaysia.

Forum tersebut memutuskan bahawa kerajaan negeri patut mengenakan moratorium ke atas apa-apa rancangan pembangunan di Pulau Jerejak.

Lim berkata, pentadbirannya bersedia untuk mempermudahkan dialog antara para aktivis berkenaan dan pihak pemaju.

"Saya pasti pemaju lebih daripada bersedia untuk menjawab soalan," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menegaskan, projek UDA Holdings telah dimeterai tatkala BN memerintah Pulau Pinang dan sejak tahun 2008, pentadbirannya tidak membenarkan apa-apa pembangunan baru di pulau itu.

"Kami (kini) perlu menghormati perjanjian yang dimeterai antara pemaju dan kerajaan sebelum ini mengenai kawasan 80 ekar yang akan menjalani pembangunan semula.

"Jika pemaju memenuhi kehendak pihak berkuasa tempatan, bagaimana kita mahu katakan tidak?" tanya Lim.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang tidak akan meluluskan sebarang permohonan baru untuk membangunkan Pulau Jerejak atau melakukan pencerobohan hutan simpan.

Ulang Lim, hutan simpan itu akan diwartakan sebagai taman negeri, selepas UDA mengemukakan rancangannya untuk pembangunan semula di pulau itu.

[Baca berita penuh]