GLOBAL l Sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh dalam serangan bom di dua gereja di Mesir ketika jemaah berkumpul bersempena Palm Sunday.

Kejadian itu menimbulkan kemarahan dan rasa takut di kalangan masyarakat minoriti Kristian Koptik di Mesir dan menyaksikan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, mengisytiharkan darurat selama tiga bulan.

"Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Presiden Abdel Fattah al-Sisi, mengarahkan beberapa unit tentera segera digerakkan bagi membantu polis awam dalam memastikan keselamatan kemudahan utama di semua wilayah republik itu," kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Pengganas IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang turut mencederakan lebih 100 orang dan berlaku seminggu sebelum kunjungan Pope Francis, bertujuan menunjukkan sokongan kepada minoriti Kristian di negara itu.

Bom pertama meledak di gereja Mar Girgis dekat bandar Tanta di utara Kaherah, membunuh 27 orang, kata kementerian kesihatan.

Ketika petugas kecemasan bergegas ke tempat kejadian, sebutir lagi bom meletup menggegarkan gereja Saint Mark di Iskandariah ketika Ketua gereja Koptik, Pope Tawadros II sedang berucap sempena Palm Sunday.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 17 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dalam serangan itu oleh seorang pengebom nekad yang meletupkan dirinya selepas dihalang memasuki gereja.

Kementerian berkata, Tawadros tidak cedera dan seorang pegawai gereja memaklumkan beliau sudah meninggalkan gereja sebelum berlaku letupan.

"Saya mendengar letupan kuat dan berlari ke tempat kejadian. Saya nampak badan mangsa berkecai," kata Nabil Nader yang tinggal berdekatan dengan gereja di Tanta

Menurut sumber kementerian kesihatan, sekurang-kurangnya 78 orang cedera di Tanta dan 41 lagi di Iskandariah.

- Agensi