Belasah anjing, kontrak firma rakyat Singapura terjejas
Rakyat Singapura, Terry Yee, yang dirakamkan membelasah seekor anjing di sebuah taman perumahan di Puchong, Selangor dilaporkan kehilangan kontrak perniagaan akibat tindakannya itu.
Menurut portal The Malay Mail Online, setelah meneliti video kejadian itu, firma peralatan pengembaraan American Osprey Pack memutuskan untuk menamatkan Tearproof Sdn Bhd milik ahli perniagaan berkenaan sebagai pengedar.
"Mengulas kejadian itu, kami sedang dalam proses untuk menamatkan hubungan dengan pengedar ini sepenuhnya.
"Kami membuat keputusan itu kerana sebagai satu jenama, kami benar-benar menentang sebarang tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan atau penganiayaan terhadap binatang," kata naib presiden, barisan produk dan pemasaran Osprey, Rob Bondurant dalam emel kepada portal itu.
Bondurant, menyifatkan kelakuan Yee sebagai "keji" dan berkata Osprey akan melantik pengedar tempatan baru tidak lama lagi.
Dalam klip video yang kemudiannya tular itu, Yee, 30, dirakamkan berlaku kejam membelasah anjing itu dengan sebuah topi keledar basikal.
Yee kemudiannya memohon maaf dan mendakwa dirinya ‘marah’ selepas anjing itu, yang dikenali sebagai Furby, menyerangnya.
Dia juga mendakwa bahawa anjing itu sebelum ini pernah menyerangnya.
Ahad lalu, sekumpulan 50 pencinta haiwan berkumpul di Taman Melody, Puchong untuk mendesak supaya Yee ditangkap.

