MT Umno sanggah dakwaan Pua
Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dikecam seorang pemimpin Umno kerana mendakwa tidak pernah ada pembangkang diberi peluang membawa rang undang-undang persendirian di parlimen.
Kata Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, kenyataan Pua itu adalah "saat kebatilan yang nyata" yang cuba diuar-uarkan supaya rakyat mempercayai dakwaan mereka.
“Ini kerana usul persendirian pembangkang pernah dibentangkan di parlimen dan sangat pelik jika mereka menafikannya sendiri,” kata Irmohizam dipetik portal Umno Online hari ini.
Anggota parlimen Kuala Selangor itu bercakap demikian bagi mengulas kritikan DAP berhubung pembentangan usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 6 April lalu.
Pada hari terakhir persidangan Dewan Parlimen berkenaan, Abdul Hadi membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau turut dikenali sebagai Akta 355.
Kata Irmohizam pada 1977 tiga rang undang-undang persendirian dikemukakan oleh anggota parlimen DAP, Ngan Siong Hing, dan seorang lagi wakil mereka, Lim Kit Siang.
Ngan dan Lim masing-masing mewakili kawasan Kita dan Kota Melaka ketika itu.
“Apa yang menyedihkan, tidak pula ketua pembangkang dan Lim Kit Siang sendiri membetulkan kenyataan Tony Pua itu.
“Ini kerana setiap pembohongan yang dilakukan oleh Pua dikatakan dapat menjamin kedudukan pembangkang,” katanya.
Lim ketika itu membentangkan rang undang-undang persendirian bagi mewujudkan Akta Perlindungan Pekerja dan Gaji Minimum 1977.
Irmohizam juga mempertikaikan pendirian DAP terhadap rang undang-undang dibawa Abdul Hadi itu kerana sehingga kini parti berkenaan tetap membentuk kerajaan Selangor bersama PAS.
“Adakah DAP berani memecat exco PAS di Selangor kalau benar mereka tidak bersetuju dengan rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh anggota parlimen Marang?
“Harap Pua boleh memperjelaskan dan melakukannya tanpa perlu beremosi di media sosial,” katanya yang kini menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno.
Sebagai anggota parlimen, kata Irmohizam, Pua perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan.
“Saya juga mengharapkan rakyat terutamanya yang beragama Islam boleh bangkit untuk mengutuk kenyataan Pua yang dilihat mencampuri dan mempertikaikan urusan rang undang-undang berkaitan Islam," katanya.

