Cuepacs: Rumah RM80,000 untuk penjawat awam di Putrajaya
Kementerian Wilayah Persekutuan bersetuju menyediakan sebidang tanah di Putrajaya bagi pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM100,000 khusus untuk penjawat awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata persetujuan itu dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam pertemuan dengan Cuepacs di kementerian itu semalam.
"Cuepacs membangkitkan soal kesukaran penjawat awam membeli rumah. Kita berterima kasih kepada Tengku Adnan di atas kesediaannya untuk mendapatkan sebidang tanah bagi tujuan itu secepat mungkin," katanya dalam sidang media selepas pertemuan itu.
Azih berkata Cuepacs menyasarkan pembinaan sekurang-kurangnya 20,000 unit kediaman di tapak berkenaan dengan keluasan minimum 800 kaki persegi dengan harga serendah RM80,000 seunit.
"Projek perumahan ini akan mengguna pakai kaedah sewa beli iaitu selepas tempoh tertentu, wang sewa akan dikira sebagai deposit untuk pembelian apabila penyewa layak membuat pinjaman perumahan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azih berkata Cuepacs akan menghantar surat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mencadangkan penggubalan undang-undang menghalang orang ramai menyebarkan gambar atau visual premis kerajaan dengan niat untuk merosakkan imej dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata ini penting bagi membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memasuki premis kerajaan dan merakam video dengan niat tertentu seperti rakaman video insiden dakwaan lewat memberikan rawatan terhadap pesakit di Klinik Kesihatan Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah yang tular baru-baru ini.
Sementara itu, Azih turut menafikan laporan media dan tanggapan umum bahawa kongres itu mencadangkan kepada kerajaan supaya had umur bersara wajib dinaikkan daripada umur 60 tahun kepada 65 tahun.
Beliau berkata Cuepacs hanya mengulas dan menyokong pandangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyatakan menerima cadangan supaya had umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun.
"Saya hanya mengulas kenyataan tersebut dan kami menyokong jika cadangan itu melibatkan lanjutan umur persaraan penjawat awam dalam bidang kritikal seperti kedoktoran dan perundangan," katanya.
- Bernama

