Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH minta KTMB dedah perbelanjaan 2013 hingga 2017
Diterbitkan:  Apr 12, 2017 11:29 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad meminta lembaga pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendedahkan perbelanjaannya dari tahun 2013 hingga 2017.

"Saya difahamkan, saban tahun kerajaan memperuntukkan secara purata RM2 billion untuk KTMB melalui program 'Meningkatkan Keupayaan KTM' yang disenaraikan dalam bajet tahunan kerajaan Persekutuan.

"Pada tahun 2013, kerajaan memperuntukkan anggaran RM3.25 billion, diikuti tahun 2014 (RM 2.17 billion), 2015 (RM 2.15 billion), 2016 (RM 1.76 billion) dan terbaru tahun 2017 sebanyak RM 2.36 billion.

"Saya dikhabarkan oleh pekerja KTMB bahawa sebahagian peruntukan KTMB yang termaktub dalam bajet kerajaan Persekutuan seperti subsidi tidak disalurkan terus kepada syarikat tersebut.

"Jika benar apa yang didakwa, ke manakah perginya peruntukan tersebut. Saya khuatir peruntukan kepada KTMB tidak disalurkan mengikut bajet yang diluluskan di Parlimen, atau kemungkinan wujudnya penyelewengan yang melibatkan pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan pekerja KTMB yang bakal terlibat dengan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) tidak akan kehilangan pekerjaan.

Timbalan menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, sebaliknya mereka akan diserap masuk ke dalam anak syarikat milik KTMB.

"Saya jamin gaji, faedah, dan apa-apa kelebihan yang dinikmati sebagai pekerja KTMB ketika ini tidak akan hilang mahupun berkurangan," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, dalam tempoh lima tahun fiskal belanjawan, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya 11.69 billion ringgit kepada KTMB untuk meneruskan program berkenaan.

Peruntukan ini tidak termasuk dalam program-program KTMB lain yang diperuntukkan secara asing, seperti 'subsidi tren tidak ekonomik' dan 'lintasan rata awam', jelasnya.

"Dengan peruntukan yang banyak dalam masa lima tahun, saya juga tidak yakin dengan prestasi yang dipamerkan oleh KTMB.

"Orang ramai masih mengkritik keupayaan KTMB sebagai sebuah pengangkutan awam yang efisyen. Masalah kelewatan ketibaan tren dari mengikut jadual, sistem tiket yang tidak berfungsi dengan baik dan tahap kebersihan yang kurang memuaskan menyebabkan saya meragui ke mana peruntukan 'Meningkatkan Keupayaan KTM' dibelanjakan," tambahnya.

Ia, ujar beliau, tidak termasuk harga tiket yang meningkat pada akhir tahun 2015 dan kerugian yang dihadapi oleh KTMB sebanyak 30 juta ringgit pada tahun 2015.

Lihat Komen
ADS